Jumat, 31 Mei 2013

Kartografi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Artifak kartografi asli terlama dalam simpanan Perpustakaan Kongres: sehelai carta nautika Laut Mediterranean. Suku kedua abad ke-14.
Kartografi (dari bahasa Yunani: chartis = peta + graphein = tulis) ialah kajian dan amalan penyediaan peta geografi yang menggabungkan ilmu sains, estetika, dan teknik, berasaskan prasimpul bahawa alam sekeliling kita boleh dimodelkan dengan cara-cara yang menyalurkan maklumat ruang dengan berkesan.
Masalah-masalah utama kartografi:
  • Penyuntingan peta: menetapkan agenda peta dan memilih ciri-ciri objek yang dipetakan. Ciri-ciri ini mungkin bersifat fizikal, seperti jalan raya atau daratan, ataupun abstrak seperti toponim atau sempadan politik.
  • Unjuran peta: mewakili rupa bumi objek untuk dipetakan pada bahantara bermuka rata.
  • Generalisasi: menghapuskan ciri-ciri objek pemetaan yang tidak relevan kepada tujuan peta, dan mengurangkan kerumitan ciri-ciri yang dipetakan.
  • Reka bentuk peta: Mengaturkan unsur-unsur peta secara terperinci untuk menyampaikan mesejnya kepada penggunanya dengan berkesan sekali.

Sejarah

Salinan (1475) peta dunia TO St. Isidore.
Peta yang mana paling awal di dunia masih belum dipastikan, kerana apa yang dimaksudkan sebagai "peta" tidak begitu jelas dan sesetengah artifak yang dipercayai sebagai peta mungkin lain bendanya. Sebuah lukisan tembok yang mungkin memetakan kota lama Çatalhöyük di Anatolia mungkin berasal dari akhir alaf ke-7 SM.[1][2] Peta-peta dunia purba yang lain termasuk lukisan dinding “Rumah Laksamana” Minos dari sekitar tahun 1600 SM, yang menunjukkan masyarakat pesisir pantai dari perspektif tidak langsung, dan sebuah peta ukiran kota suci Nippur di Babylonia yang diukir pada zaman Kassite (ke-14 – ke-12 SM).[3]
Masyarakat Yunani dan Rom Purba pandai mencipta peta selewat-lewatnya sejak zaman Anaximander pada abad ke-6 SM.[4] Pada abad ke-2 Masihi, Ptolemy menghasilkan karangan kartografinya iaitu Geographia[5] yang mengandungi peta dunia Ptolemy, iaitu dunia yang dikenali masyarakat Barat ketika itu (Ecumene). Seawal-awal tahun 700-an, para ilmuwan Arab berusaha menterjemah karya-karya ahli geografi Yunani ke dalam bahasa Arab.[6]
Di China, kesusasteraan geografi digiatkan sejak seawal abad ke-5 SM. Peta terlama dari China yang masih wujud berasal dari Negeri Qin pada abad ke-4 SM, ketika Zaman Negeri Berperang. Dalam buku Xin Yi Xiang Fa Yao yang diterbit oleh ilmuwan China Su Song pada tahun 1092, terdapat peta bintang dalam unjuran silinder sama jarak.[7][8] Walaupun kaedah pemetaan ini nampaknya sudah pun wujud di China sebelum tibanya buku tersebut di dunia, namun peta bintang Su Song ini terkenal sebagai peta bintang terlama yang masih wujud dalam bentuk cetakan.
Karya-karya katrografi terawal di India termasuklah lukisan berlegenda, seperti peta-peta tempat yang disebut dalam kisah epik India, misalnya Ramayana.[9] Tradisi kartografi India juga meliputi lokasi bintang kutub dan banyak lagi buruj yang berguna.[10] Peta-peta ini mungkin digunakan sejak bermulanya Tahun Masihi untuk tujuan pengemudian di laut.[10]
Mappa mundi ialah istilah am yang digunakan untuk menghuraikan peta-peta dunia yang berasal di Eropah pada Zaman Pertengahan. Terdapat lebih kurang 1,100 mappae mundi Zaman Pertengahan yang masih wujud sampai sekarang, 900 daripadanya didapati menggambarkan manuskrip dan selebihnya merupakan dokumen bebas (Woodward, p. 286).
Ahli grografi Arab Muhammad al-Idrisi menghasilkan atlas Tabula Rogeriana pada tahun 1154, dengan menerapkan pengetahuan mengenai benua Afrika, Lautan Hindi dan Timur Jauh yang dihimpunkan oleh para saudagar dan pengembara Arab beserta maklumat yang diwarisi dari para ahli geografi klasik untuk menghasilkan peta dunia yang paling tepat dari sewaktu hayat beliau sehingga tiga abad seterusnya.[11]
Sewaktu Zaman Penjelajahan dari abad ke-15 hingga ke-17, para ahli kartografi Eropah menyalin peta-peta terawal (yang diwarisi sejak berabad-abad lalu) sambil melukis peta baru berasaskan pemerhatian dari para penjelajah dan teknik pemantauan terbaru. Penciptaan kompas magnetik, teleskop dan sekstan banyak membantu meningkatkan ketepatan peta. Pafa tahun 1492, seorang ahli kartografi berbangsa Jerman, Martin Behaim, menghasilkan glob Bumi terlama yang masih wujud.[12]
Johannes Werner memperhalusi dan memperkenalkan "unjuran peta Werner". Pada tahun 1507, Martin Waldseemüller menghasilkan sebiji glob dunia dan sehelai peta dunia dinding sebesar 12 panel (Universalis Cosmographia) yang memaparkan penggunaan nama "America" yang terawal. Ahli kartografi Portugis, Diego Ribero, ialah pengarang kepada planisfera terawal yang dikenali dengan senggatan Khatulistiwa (1527). Battista Agnese dari Itali pula menghasilkan sekurang-kurangnya 71 atlas peta laut dalam bentuk manuskrip.
Oleh sebab betapa payahnya menghasilkan peta dari segi fizikal, para pembuat peta sering menyalin bahan dari hasil kerja terawal tanpa memberi penghargaan kepada pelukis asalnya. Contohnya, salah satu peta lama Amerika Utara yang paling terkenal diberi jolokan "Beaver Map", terbitan Herman Moll pada tahun 1715, tetapi sebenarnya merupakan salinan bulat-bulat dari peta lukisan Nicolas de Fer pada tahun 1698. De Fer pun turut menyalin gambar-gambar yang asalnya dicetak dalam buku-buku terbitan Louis Hennepin dari tahun 1697, dan François Du Creux dari tahun 1664. Menjelang tahun 1700-an, para pembuat seni mula memberi penghargaan kepada pelukis asal dengan mencetakkan ungkapan "Berdasarkan [ahli kartografi asal]" pada karya-karya mereka.[13]

Tidak ada komentar:

Posting Komentar